Budaya Seni Abstrak
Penulis: Badrolhisham Mohamad Tahir
Artikel ini disalin semula daripada
majalah Dewan Budaya keluaran Jun 1999. Ianya disalin semula sebagai suatu
perkongsian penulisan yang kritikal terhadap seni di Malaysia. Walaupun telah berusia
20 tahun, saya merasakan penulisan ini masih relevan untuk dibaca dan dikaji sebagai wadah
ilmu seni.
Batasan unsur
catan adalah pada “tatabahasa”nya: warna, garisan, tanda, bentuk dan rupa,
untuk tujuan komunikasi. Kesemua unsur ini diterokai dan dieksploit. Ia adalah
suatu kesedaran yang tidak mewakili realiti yang hadir dalam alam secara mimesis. Bahkan, ia mencadangkan suatu antithesis dimensi “pra-objektif”
tentang perbezaan antara yang praktis dengan yang mudah difahami, bahan dengan
bentuk, yang masih tidak dapat difahami melalui deria. Penggunaan warna
menjelaskan perbezaan ini dan cara pengolahannya melambangkan suasana kegembiraan
atau kedukaan, rohaniah atau sensual. Penzahiran bentukan dalaman ini terhasil daripada penerokaan suatu penciptaan
motif organik/geometrik. (Maka motif abstrak, sebagai imejan dapat memperlihatkan
keaslian ruang emosi. Imejan ini secara perlahan- lahan berubah menjadi alat self attunement dan yang paling penting
ialah bagaimana ia dapat meneruskan ingatan tentang kemanusiaan yang dihimpit
oleh kehidupan moden amnya dan representasi media khasnya. Ciri enigmatik
imejan abstrak ini juga boleh mengatasi pseudo-intelligibility
kedua- duanya).
Bagi
saya, catan lebih merupakan sesuatu yang temporal
dan membongkar rahsia pengalaman tampak dari deria penglihatan pelukis.
Kebanyakan
perbincangan tentang proses abstrak tertumpu pada idea membuat catan abstrak
stilistik atau pada penemuan baru yang lahir dripada keprihatinan seniman
tentang aspek formal (?). Hal ini merupakan fenomena yang dikesan sebagai satu
rentetan perubahan stilistik sejarah bahasa seni modenis. Lebih- lebih lagi
apabila ia dilihat sebagai bahasa tinggi
: ekspresi emosi terhadap “kebebasan” perlakuan dan “keaslian” warna, bentuk,
dan rupa bagi membolehkan seniman dan pemerhati berhubung dalam ruang emosi dan
spiritual. Persoalannya, apakah maknanya membuat catan dengan imejan yang “non-representational”? Mungkin terdapat
imejan yang “non- representational”,
tetapi ini membayangkan pula kepada kita akan tekanan penghidupan kini yang
melalui kerja abstrak dapat mewakili pernyataan dalaman seseorang. Pada fikiran
saya, ia bertindak sebagai simbol kecenderungan kesatuan kehendak narsisistik
diri. Pendeknya, penghasilan karya abstrak adalah pembalikan kesedaran
kehidupan kini dan tentang keperluan kepada “kehendak luaran” yang tidak jauh
berbeza bagi setiap individu.
Dari
segi bahasa visual, yang abstrak adalah cerminan pensejarahan dan budaya. Malangnya,
kita juga sering secara intelektual beranggapan bahawa yang abstrak tergolong
dalam budaya tinggi. Kita sering tersalah anggap juga bahawa yang abstrak bukan
pencerminan kuasa pensejarahan dan kuasa budaya yang secara naratif didaktik,
dan beranggapan bahawa fenomena abstrak ini hanya satu bentukan luar. Walaubagaimanapun, penafian boleh mengehadkan
pemahaman kita terhadap makna abstrak, dalam proses persejarahan formalistik.
Penafian yang dimaksudkan adalah dengan mengehadkan hubungan budaya yang meluas
itu dengan sejarah lainnya dan seniman dengan dunianya. Maka secara
fenomenologikal, sejarah budaya disalahtafsir dengan pengertian budaya.
Pendeknya, yang abstrak lebih mencerminkan kesedaran perlakuan gerak kerja budaya
dan pengabdian kita terhadap keperluan
luaran yang tidak banyak berbeza
antara individu. Perbezaan yang kecil ini adalah sebahagian daripada
permasalahan, secara tidak sedar dan menyumbang kepada perbezaan tanggapan
terhadap keperluan luaran itu. Dengan itu, kehilangan pandangan tentang hubungan yang abstrak ini dengan pensejarahan
budaya visual yang memperlihatkan keperluan suatu rentetan acara yang menjadi
asas pembinaan pensejarahan seni abstrak.
Sering
timbul persoalan tiada arketip tradisional yang dapat dijadikan rujukan
pensejarahan seni abstrak kontemporari yang boleh dikaitkan dengan fenomena
budaya kini. Krisis moral dan pensejarahan seni abstrak negara menjadi asas
ketidakfahaman kita terhadap faktor yang menyumbang, kepada seni abstrak hari
ini.
Krisis
ini sama seperti yang berlaku di Eropah sebagaimana yang disebut oleh Joseph
Beuys dan di Amerika oleh Barnett
Newman. Di Malaysia, zaman awal kemerdekaan disifatkan sebagai tempoh
pensejarahan yang innocence, yakni seni
abstrak masih belum memainkan peranan besar sehinggalah pulangnya graduan dari
luar negara yang secara mengejut menggabungkan seni abstrak ekspresionis dengan
teknologi dan imperatif budaya secara spontan yang unselfconscious. Pada tahun 1970-an, Mystical Reality wujud bagi menyedarkan perilaku spontan yang unselfconscious itu dengan membuat
kejutan penilaian semula nilai utopia awalan untuk mencari identiti ketimuran.
Sehubungan itu, seni abstrak selepas tahun 70-an mengambil alih proses
pengacaraan pensejarahan seni abstrak tanah air sebagai agenda baru yang secara
spiritual dan secara fenomenologi mengambil tempat mengubah cara kerja/fikir.
Tetapi bagaimanakah seni abstrak dapat dihubungkan dengan kuasa intelek dan
kuasa sosial secara keseluruhannya di negara kita?
Seni
abstrak merupakan manifestasi seseorang tentang alam melalui konsep abstrak
yang mendominasi corak pemikiran abad ke-20. Apa-apa juga gerak laku intelektual
pada abad ke-20 memperlihatkan idea abstrak ini menggantikan ideologi
emperisisme, sebagai panduan ideologi budaya dan pemikiran abad ke-19. Dalam
seni abstrak tampak, proses abstrak berlandaskan idea yang mengarah kepada
insiden visual secara terpeinci yang boleh diwakili sebagai bentukan umum yang
bebas daripada sumber fenomenologikal. Idea abstrak dalam seni visual juga adalah
berasaskan saling hubungan antara karya seni yang menjadi sebahagian daripada lambang
kepentingan identiti dengan individu itu sendiri. Prinsip visual abstrak tidak
mencerminkan perlakuan budaya tinggi tetapi merangkumi segala aspek budaya
visual.
Pada
abad ini, teknologi menjadikan dunia semakin abstrak dan menukarkan kehidupan
kepada persekitaran yang abstrak. Teknologi abad ini pada dasarnya memisahkan
dirinya secara beransur- ansur daripada sebarang hubungan dengan alam: kuda
digantikan dengan dengan penggunaan automobil, lilin dengan lampu elektrik, dan
sebagainya. Teknologi saban hari bertukar menjadi otot- otot yang menggantikan
kuasa wap, kemudian kuasa elektrik dan kuasa nuklear. Apabila berhadapan dengan
automobil, lampu elektrik, penyaman udara dan telefon, kita sebenarnya memasuki
dunia yang kita tidak lagi terikat pada kuasa alam yang digantikan oleh
teknologi ini. Kita memasuki dunia yang teknologi menjadi autonomous,
persekitaran kita menjadi terlalu abstrak secara fizikalatau mental. Fenomena
abstrak ini bukan sahaja berlaku ke atas teknologi bahkan dalam setiap gerak
laku intelek.
Perubahan
yang terlalu cepat memaksa kita mengalami suatu pengalaman yang tidak lagi
bergantung pada masa atau ruang yang “nyata” atau “semulajadi”. Begitu juga
seni visual; seni abstrak adalah cerminan persekitaran fizikal yang bertukar
menjadi abstrak. “ Seni Abstrak
adalah seni masa kini,” kata Jean Scully. Tambahnya, “Ianya mewakili realiti sifat
manusia.” Tetapi apakah sebenarnya abstrak? Permasalahan utama ialah keadaannya
agak rumit disebabkan kepelbagaian mod abstrak yang kebanyakannya antitetikal
dari segi mesej. Yang dirasai, imejan abstrak menggambarkan imejan tertekan yang
mewakili penceritaan keadaan seseorang tentang dirinya. Ia merupakan fakta
emosi yang bertindak sebagai faktor pertahanan seni terhadap kerosakan yang
dilakukan oleh dunia moden.
Seni
abstrak tiada kena mengena dengan pengalaman estetik yang menggunakan sesuatu
rupa bentuk tertentu, dari segi teknik atau konfigurasi. Ia merupakan kesan
sampingan yang terhasil daripada perubahan teknologi dan perubahan daya laku
intelek. Imej abstrak seolah- olah pewujudan cerminan ketidakhadiran emosi,
kekosongan atau kebebasan yang terhasil oleh dunia abstrak yang hubungan saling
sosial saling tidak berhubungan. Kita sememangnya hidup dalam dunia yang
moralnya terlalu rendah dan manusia sanggup mengenepikan sesuatu konfrontasi
daripada menyelesaikannya dan sanggup hidup dalam persoalan yang jauh daripada
kemelut dunia moden yang semakin mengelirukan.
Seni
abstrak merupakan realiti dunia sekarang yang abstrak. Yang menjadi penting
adalah penjelasan faktor sebab yang menjadikannya abstrak bagi mengisi
kekosongan makna. Maka penjelasan yang teoritikal agak rumit kerana sesuatu
yang abstrak itu perlu difahami. Makna seni pada akhir abad ke-20 ini adalah
satu integrasi teoritikal yang merupakan komponen utama kepekaan terhadap
kemodenan dan kita mungkin pada suatu hari nanti tidak lagi berlegar- legar di
ruang pameran yang ternyata terlalu abstrak secara begitu sahaja, tetapi akan
mencari penjelasan idea abstrak yang berlaku melalui penjelasan teori. Maka
penjelasan seni abstrak dan budaya berhubung kait dengan persoalan pencarian
makna kerana sememangnya kehidupan moden kini terlalu sukar difahami dan
memerlukan sesuatu yang dapat memberi maklumat tentang sebab kewujudan seni
abstrak ini. Hubung kait seni dan budaya lebih merujuk kepada persoalan
kesedaran dalam pembinaan sejarah seni visual yang akan meningkatkan mutu
kesenian negara.
Comments
Post a Comment