Catatan tentang Seni & Kemahiran



Kemahiran atau skill kebiasaannya terhasil daripada tabiat berulang- ulang yang dilakukan seseorang seniman, tukang malah mungkin juga guru yang mengajar suatu tajuk dari subjek Sains bertahun lamanya menjadikannya mahir dalam penyampaian. Sama ada ianya berkait hal teknikal, keintiman dengan alat dan objek, tidaklah boleh dinafikan bahawa selain bakat, kemahiran juga termasuk anugerah Tuhan selain pengalaman hidup seseorang yang menjadikannya minat dengan apa yang dilakukan secara berulangan tadi. Seperti kata Martin Heidegger mengenai being-in-the-world di mana perhubungan antara manusia dengan dunia adalah bukan sekadar dijambatani persepsi atau fikiran tetapi yang utamanya adalah kemahiran (know-how). Kenyataan Heidegger ini mudah difahami dengan contoh; kita cuba menjelaskan cara- cara melukis pemandangan kepada seorang kanak- kanak. Penjelasan tersebut adalah tidak bermakna tanpa kanak- kanak itu sendiri yang melukis. Pengalamannya memegang dan melorek pensel 'menjelaskan' hubungannya mengenali lukisan. Hubungan antara alat, tanda serta persekitaran (ready to hand), objek (present at hand) dan manusia (dasein) menyatakan situasi manusia yang berada dalam keadaan 'know-how'. Alat, tanda, serta persekitaran dan objek bergantung kepada manusia. 

Sering kali kita terjumpa seniman yang tidak dapat menjelaskan secara mendalam bagaimana dia dapat melukis seperti apa yang dia lukis. Ini kerana ia telah menjadi tabiat sehingga boleh menguasai alat dan objek yang dikendalikan dan pengalaman langsung itu menjelaskan cara dia melukis. Seperti seorang tukang masak char koew tiaw yang berpengalaman selama 10 tahun, dapat menyiapkan satu hidangan hanya dalam masa 3 minit dengan rasa yang konsisten setiap masa. Dalam kalangan orang Melayu, istilah 'air tangan' mungkin dapat membantu penerangan ini. Manual bagaimana caranya memasak telah ternanam di benak memori yang memerlukan galian oleh seorang chef psiko persis Gordon Ramsey.

Walaupun dapat dijelaskan tentang bagaimana cara seseorang seniman itu melukis, ia tidaklah dapat memberikan gambaran menyeluruh terhadap hasil karyanya atas sebab berlakunya kesan- kesan accidental dan pelbagai faktor yang mempengaruhi proses pembikinan karya seperti masa, ruang studio atau penggunaan bahan atau media- media non konvensional mahupun jumpaan- jumpaan baru. Faktor- faktor ini kebiasaannya tidak disedari atau diingati oleh seniman sendiri, mungkin tidak berkesempatan untuk mendokumentasikan proses secara tertib atau memang tidak dipedulikan, selesa untuk bekerja secara spontan. Jackson Pollock antara action painter yang tidak memerlukan tertib berkarya yang mengongkong atau begitu teratur, lebih suka bergerak bebas melemparkan cat di atas kanvas sebesar rumah. Adapun begitu lemparan catnya bukanlah lemparan yang semberono, ia didasari latihan dan pengamatan dalam mendapatkan stroke yang diingini. (Pernyataan ini bagi menidakkan pandangan bahawa pelukis abstrak tidak tahu melukis figura dan sebagainya).

Kepentingan kemahiran terserlah melalui karya. Walaubagaimanapun ia tidak lagi menekankan mengenai rupa bentuk karya semata tetapi pengalaman seniman dalam berkarya. Inspirasi, tujuan, eksperimentasi teknik dan bahan, olahan subjek, pengurusan masa dan ruang, penggunaan alatan dan mesin menyumbang sedikit sebanyak informasi mengenai praktis estetika seniman. Kesemua ini menyumbang kepada makna kemahiran atau skill yang disebutkan tadi.

Seperti mana Haafiz Shahimi yang boleh dikaitkan mengenai bakat dan kemahirannya menghasilkan karya pyrography sejak beberapa tahun lalu. Karya- karya Hafiz mungkin boleh dikategorikan sebagai cetakan mono yang melalui eksperimentasi bahan, manipulasi teknik sedia ada dan pergerakan fizikal cergas disandari intuitifnya. Walaupun teknik cetakan pyrography diasaskan pada abad ke-17 di Eropah, tambah nilai dalam teknik pyrography kelihatan melalui karya Haafiz dan di dalam konteks seni di Malaysia, secara peribadinya dia adalah yang pertama menemukan dan mengasah teknik ini secara konsisten. Potongan kepingan besinya yang halus bertindak sebagai blok dalam membentuk subjek- subjek kajian pilihannya, dibakar dengan suhu api yang tinggi dan dicetak di atas pelbagai permukaan seperti kanvas dan jute. Renjisan petrol di atas permukaan karya diselang seli dengan nyalaan api bagi membentuk bayang dan bentuk dengan tujuan menghasilkan kontras dan harmoni yang dimahukan. Segala teknik dan penggunaan bahan ini membangkitkan suatu mood tatkala melewati karya-karyanya seperti aura jelmaan figuratif manusia dan haiwan sedang menyelinap keluar dari Genie Lamp dalam filem animasi Aladdin. Dapat dirasakan unsur- unsur mistik hasil lapisan- lapisan bakaran api yang membentuk imejan. Tentunya proses- proses penghasilan karya Hafiz ini kedengaran agak leceh dan meletihkan, namun dengan berbekalkan cinta dan kemahiran, segalanya mungkin. Mengenali dan mengendalikan bahan yang begitu intim dengan libido seninya selama bertahun ibarat 'hanya jauhari mengenal manikam'. Hubungan ini membentuk dunianya tersendiri dan hanya dialah yang lebih mafhum akan gerak kerjanya.

Kemahiran tidak seharusnya lagi dilihat hanya dalam kerangka teknik dan bahan semata- mata, tetapi merangkumi segenap aspek dalam menjalani kehidupan sebagai seorang seniman. Ia bukan sahaja tentang bagaimana melukis benda cantik, tapi juga cerminan seniman bagaimana ia menjadi seperti dirinya. 



Blok cetakan dari kepingan besi.

Bahan dan alatan dalam penghasilan karya.
Eksperimen dan lakaran.
Self-Less, 2019
Buraq, 2019

                                       
Sleeping Beauty: Day, 2019






Comments