Kepelbagaian Seni- Sepandang Lalu

Konsep estetika catan potret atau realisme bersandarkan kepada hujah Plato bahawa seni adalah suatu peniruan, manakala medium ready made object digagaskan oleh Marcel Duchamp yang menganggap bahawa makna adalah inti kepada sesebuah karya seni. Sehinggalah naratif seni dikatakan Arthur Danto sebagai telah 'mati'. ' Kematian' naratif ini bermaksud seni telah sampai ke penghujung dalam perkembangannya dan kini wujud secara plural. Dari sudut sejarah seni tempatan secara umum, kita telah mengadaptasi dan mempraktiskan kesenian Barat sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Sejarawan seni tempatan ada membahaskan tentang permulaan Seni Moden tempatan namun ada pula yang menyanggah teori tersebut atas sebab perbezaan konteks dan pengertian 'moden' yang digunapakai dalam menilai seni tempatan.

Walaupun begitu, apa yang pastinya hari ini kelihatan bahawa seniman tempatan rata- ratanya masih mengamalkan praktis kesenian yang dipinjam dan kemudiannya menggunakan bahasa- bahasa visual yang tersendiri. Kita menemukan karya-karya kontemporari dalam pelbagai disiplin, bentuk dan stail malah kadangkala sukar untuk mengkategorikan aliran- aliran praktisnya. Apatah lagi dalam kepelbagaian agama, kaum, status sosial dan latarbelakang seniman di Malaysia tentunya membawa seribu satu pandangan, cara lihat dunia dan pengalaman yang berbeza terzahir melalui objek ciptaan seni. Ada yang bicaranya menyentuh tema politik, budaya, agama, realiti dan seni itu sendiri.

Kepelbagaian seharusnya terus diraikan. Seni tidak perlu menyandarkan dirinya pada demokrasi dalam mempertahankan dirinya yang bersifat pelbagai itu, seperti mana makanan yang sifatnya juga pelbagai. Memetik kata Heidegger bahawa seni seharusnya diberikan kebebasan. Namun kebebasan itu bukanlah seperti free will  yang difahami sebagai kebebasan melakukan apa saja tanpa memikirkan norma- norma atau etika seperti tanggapan biasa kita. Tetapi Heidegger memaksudkannya sebagai "letting beings be" (membiarkan seperti mana adanya) dalam cara menyediakan suatu ruang yang terbuka didatangi bersama dengan sikap yang terbuka seperti mana adanya. Ia adalah suatu cara seseorang untuk berhubung dengan orang lain. Ia bukan bermaksud sikap ketidakpedulian dan ketidakperihatinan kepada sesuatu, tetapi sebaliknya sikap keterbukaan ini adalah manifestasi kepada hubungan mengambil berat akan kesedaran harian manusia.

Tanpa ruang dan sikap yang terbuka seniman tidak dapat berhubung dengan audien dan mematikan peranan seniman dan seni itu sendiri. Heidegger memberikan perumpamaan 'kebebasan' sebatang penyapu yang digunakan untuk menyapu lantai. Manusia 'membebaskan' penyapu dengan menggunakan penyapu itu yang berfungsi sebagai menyapu lantai. Melalui tindakan menyapu ini juga manusia merealisasikan kewujudan dan meliberisasikan penyapu tersebut kepada fungsinya yang sebenar.

Keterbukaan dalam menerima seni seperti mana adanya itu mengupayakan seniman dan audien untuk mendekati realiti. Tentunya realiti merupakan suatu subjek yang sangat besar dan rumit untuk diperkatakan namun usaha- usaha untuk mendekatinya tidak dapat digapai jika pintu dan ruang keterbukaan itu ditutup. Seperti mana penyapu yang tidak dapat memenuhi fungsinya sebagai penyapu.

Respon atau reaksi terhadap sesuatu karya seni merupakan perkara 'wajib' dalam membicarakan perihal kepelbagaian seni. Dalam dunia seni yang terbuka, kewujudan reaksi terhadap sesebuah karya seni mengabsahkan kewujudan keterbukaan itu. Namun ada kalanya respon yang disuarakan itu diikuti dengan tindakan yang membunuh karya seni seperti karya diturunkan daripada dinding galeri dan seumpamanya. Apa pun alasannya sama ada karya itu contohnya bersifat erotis, berbentuk kritikan kepada sesuatu institusi agama atau individu politik, kesemua ini membawa kepada pernyataan seniman mengenai realitinya; apa yang dialami, dirasa, difikir dan ditafsirnya lalu dipersembahkan imej- imej visual ini kepada audien. Analoginya, kita mungkin tidak tahu apakah yang berada di bawah bentangan permaidani di ruang tamu rumah melainkan diselak permaidani itu. Jika pun sesebuah karya menyanggahi tanggapan biasa sesebuah kelompok masyarakat, kita tentunya tidak berhenti dengan hanya menghentam semberono tanpa bertanya kepada si pengkarya. Jika ini yang berlaku, kita telah menolak keterlibatan seniman sebagai 'pekerja sosial' dalam masyarakat.

Tentunya dalam konteks tempatan kita sentiasa menyanjung warisan agama, budaya atau norma yang menjadi tradisi. Bagaimanapun, perkembangan dunia menyaksikan perubahan- perubahan disebabkan pengecilan dunia yang tidak lagi bersempadan. Perkembangan teknologi, migrasi penduduk, naik turun ekonomi dan perubahan politik menjadikan aspek agama, budaya atau norma tadi turut mengalami perubahan dari banyak sudut malah dalam dunia post- kapitalis ini hampir semuanya mengelirukan dan aspek- aspek ini juga tidak terlepas dari menjadi dagangan komoditi. Jika kita menginginkan adanya usaha untuk merungkai kekeliruan yang berlaku di sekeliling kita, maka keterbukaan terhadap kepelbagaian tidak boleh disekat selagi mana tidak mengganggu gugat keamanan dalam bermasyarakat.


Roslisham Ismail aka Ise
NEP, 2009

Hasnul Jamal Saidon
Kdek-Kdek Ong, 1994

Joseph Tan
Love Me in My Batik, 1968
























Comments