Menikmati Pameran 'At the end of the day, even art is not important' Ahmad Fuad Osman.

Saya berpeluang menikmati karya- karya dari pameran seni Ahmad Fuad Osman bertajuk "At the end of the day, even art is not important" pada hari-hari akhir sebelum pameran ditamatkan di Balai Seni Visual Negara. Pameran ini mengumpulkan kembali kesemua atau sebahagian besar karya- karyanya sebelum ini dan terkini. Melalui pameran ini, Ahmad Fuad (AF) meneroka persoalan- persoalan yang ada di antaranya telah pun diterokai oleh seniman- seniman terdahulu namun diolah menggunakan bahasanya yang tersendiri dalam konteks masa dan ruangnya. Beliau tidak hanya berekspresi melalui catan yang lebih bersifat popular, malah arca, instalasi, cetakan fotogafi dan filem pendek.



Pameran ini 'menelanjangkan' (meminjam istilah Ismail Zain) AF dalam erti kata diperlihatkan cara fikir; yang menentang kapitalisme atau bahasa mudahnya kegilaan terhadap kuasa dan harta, respon terhadap sesuatu peristiwa; contohnya Reformasi 98 dan pengalaman beliau yang lain sepanjang mempraktiskan seni. Karya- karyanya juga begitu melimpahi ruangan galeri, memerlukan masa yang begitu lama untuk diamati. Saya melihat bagaimana seorang seniman meneroka dunianya dan menjelmakannya dalam objek seni dalam sebuah pameran yang lebih bernuansa kronologikal dan boleh dijejaki kesinambungan dari satu siri ke satu siri lainnya. Minatnya berubah dari masa ke semasa, tapi tidak melarikan dirinya begitu jauh; dari kritikannya terhadap materialisme yang bertunjangkan falsafah moden, neo- kolonialisme dan pencarian identiti melalui sejarah dengan berlawankan para orientalis mempunyai hubungan rapat seperti sebuah novel sastera namun berada dalam bab yang berbeza.

Ada suatu kelainan dalam ruang pameran Enrique de Malacca Memorial Project, diubah dari ruangan galeri biasa kepada ruangan muzium. Kelihatan seperti artifak-artifak seperti senjata lama, peta dunia, model kapal layar lama dan syiling lama dikumpul atau dihasilkan secara sistematik serta dipamer bersama catan, arca, filem pendek dan beberapa bentuk seni yang lain. Saya melihat ianya lebih kepada sebuah usaha pencarian identiti dengan menggunakan Enrique de Malacca atau Panglima Awang sebagai ikon dalam penyampaiannya. Kebiasaanya pencarian identiti itu bermula dengan menjejak kembali sejarah kegemilangan sesuatu tamadun bangsa dan AF sebagai Melayu- Muslim dan lahir di Semenanjung Malaysia merujuk zaman kegemilangan Kerajaan Melaka sebagai contoh ketamadunan agung. Sepertinya juga karya- karya ini mengajak audien untuk menyanggah propaganda bekas penjajah terhadap masyarakat peribumi (yang dijajah) yang kononnya inferior berbanding mereka (yang menjajah) yang superior. Ia memfokuskan kehebatan Enrique de Malacca mengelilingi dunia sebagai sanggahan terhadap propaganda Beban Orang Putih itu. Perkara sama dilakukan oleh Allahyarham Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa melalui pameran Realiti Mistikal pada 1974. Walaupun pendekatan kedua pameran ini berbeza tetapi mempunyai halatuju yang sama; cuba menggali dan mengangkat seni atau kekayaan 'tamadun' sendiri. Istilah 'sejarah' itu sendiri merupakan tanda tanya menarik kerana yang menentukan kesahihannya sentiasa melibatkan kuasa.  Adapun begitu, seniman tidak bertindak seperti ahli sains sosial atau sejarawan yang menggali dan mengkaji artifak sejarah, tetapi meminjam pengetahuan- pengetahuan dari lapangan lain itu dan berefleksi dengannya sebagai 'modal' dalam penghasilan karya.




Saya ingin menyatakan solidariti saya terhadap AF di atas kesulitannya dalam mendepani 'karenah birokrasi' yang menatijahkan penurunan beberapa karya yang dianggap menyinggung perasaan masyarakat. Saya melawat pameran ini setelah karya- karya tersebut dipamerkan kembali, difahami atas sokongan golongan seniman dan peminat- peminat seni yang mendesak Balai Seni Visual Negara agar mengambil tindakan yang lebih rasional dan profesional. Membaca beberapa karya yang dikatakan menyinggung ini bersama karya- karya lain, difahami serba sedikit perjalanan praktis kesenimanan AF dan pada pandangan peribadi saya, tidaklah menyinggung perasaan masyarakat secara keseluruhannya. Memahami bahawa karya- karyanya bertemakan kritikan sosial tentunya ia menerjah struktur- struktur sosial dalam masyarakat namun ia memfokuskan kepada dua golongan iaitu golongan politik dan golongan elitis. Maka tidak hairanlah golongan- golongan berkepentingan merasakan karyanya boleh mencetuskan kebimbangan. Dari sudut ini, saya merasakan AF berjaya mencuit dan menjentik jiwa dan fikiran audiennya yang terasa pedas dengan cili- cili yang dihidangkan. Penindasan, kezaliman dan ketidakadilan dalam konteks dunia moden merupakan kata kunci- kata kunci yang terpacul di benak fikiran saya bila mana melewati karya- karyanya yang dianggap menyinggung itu.



Tajuk pameran 'At the end of the day, even art is not important' pada bacaan saya, menggambarkan perjalanan memerhati dan meneroka konflik- konflik serta perubahan dunia yang berlaku dalam kehidupan seorang seniman yang pada akhirnya menyimpulkan bahawa seni bukanlah segala- galanya. Setelah penat jerih dalam memerhati dunia dari kaca mata seorang seniman, kesimpulan pahit tapi benar mengambil tempat. Kedudukan seni yang dilihat sebagai takhta yang harus digenggam akhirnya mungkin dilihat sebagai kerusi kayu yang biasa dijumpai di warung, digunakan sebagai tempat duduk untuk santapan dan terus berlalu pergi seusainya. Dalam pada manusia- manusia yang meminati, berpraktis malah yang mengejar gelaran seniman, kadangkala terlupa akan hakikat bahawa seni adalah suatu 'pekerjaan' seperti mana doktor, buruh binaan, peniaga, tukang masak dan sebagainya. Seni tidak menuntut manusia untuk menjadi hippies atau bohemian yang menghambakan diri kepada seni sehingga ianya dianggap seperti agama (ini berlaku di belahan Eropah). Ia juga tidak memaksa seniman untuk meninggalkan kehidupan dunia dan mengurungkan diri dalam dunia seni semata dalam usaha untuk bergelar seniman. Seni mempunyai keterbatasannya yang tertentu. Memetik penulisan Mohd Fuad Arif dalam bukunya 'Seni Bukan Segala- Galanya' (2013);

" Anda tidak dilahirkan untuk (tujuan) menjadi seniman. Seni bukan tujuan hidup. Ia adalah sebahagian daripada hidup. Ia bukan pusat kepada segala kerisauan dan desakan pada hidup dalam Tuhan menjadikan manusia."   













      

Comments