Kemahiran dan disiplin yang berbeza.
Kemahiran dalam pengkaryaan seni itu pelbagai. Dalam catan misalnya, hanya seniman yang boleh melukis figura atau potret saja yang dianggap berbakat. Manakala yang melukis 'field painting' atau abstrak sering dianggap seniman itu tidak memiliki kemahiran melukis, merepek dan sukar difahami. Walhal untuk melukis secara field painting atau abstrak itu juga punya disiplin dan kemahiran yang tersendiri. Seperti mana Noraniza Idris memerlukan disiplin tertentu dalam menyanyikan lagu genre Irama Malaysia begitu juga Awie dalam menyanyikan genre Rock.
Ad Reindhart umpamanya menceritakan proses menghasilkan siri 'Black Paintings' di mana rata-ratanya kanvas diwarnakan pelbagai jenis hitam. Bancuhan warna hitam yang 'solid' dan sapuan berus yang berhati-hati diperlukan untuk menghasilkan warna 'superflat' dan 'edging' yang rata. Ianya juga mengambil masa dan ketelitian seperti mana penghasilan karya 'mazhab' lain.
Karya Cy Twombly yang dilihat seakan menghasilkan hanya contengan-contengan rambang di atas kanvas pula bukanlah seperti contengan kanak-kanak berusia 2 tahun. Sapuan berusnya mempunyai kualiti yang sukar dihasilkan bagi orang yang baru belajar melukis. Sapuan berus halus, nipis, tebal dan lebar serta kualiti kepantasan pergerakan sapuan berus menjadikan karya Cy Twombly sesuatu yang berbeza.
Comments
Post a Comment